SASARKAN MATLAMAT TINGGI DALAM KEKURANGAN DIRI | MEMORI CATATAN 2017

Apa matlamat tahun 2017 anda?
Yakin anda akan dapat mencapainya ..
SASARKAN MATLAMAT TINGGI DALAM KEKURANGAN DIRI
ABU JAHAL tokoh Quraisy yang paling terkenal menentang Nabi sehingga dinobatkan sebagai Firaun umat ini.
Dia mati dalam perang Badar. Tahukah di tangan siapa dia terbunuh?
Bukan di tangan Rasulullah s.a.w..
Bukan juga di tangan mana-mana sahabat yang hebat. Dia mati di tangan dua anak muda!
Abdul Rahman bin ‘Auf mengisahkan:
“Sedang aku berdiri dalam barisan semasa perang Badar, tiba-tiba aku dapati di kanan kiriku dua orang anak Ansar. Muda lagi umur mereka. Aku berangan kalau aku seperti mereka. Tiba-tiba salah seorang mendekatiku.
‘Pak cik kenalkah Abu Jahal?’
‘Ya. Ada apa-apa kamu denganya?’
Budak itu membalas:
‘Aku diberitahu bahawa dialah yang kerap mengutuk Nabi! Demi nyawaku di tangan-Nya, kalau aku menjumpainya, bayang aku tidak akan terpisah daripada bayangnya sehingga salah seorang daripada kami yang mati dulu!’
Kemudian anak muda yang seorang lagi juga bertanya kepadaku perkara yang sama.”
Diringkaskan kisah, mereka berdua berjaya membunuh Abu Jahal. Semasa melihat pedang mereka berdua, Nabi bersabda:
“Benar, kedua-dua mereka ini yang membunuhnya!”
(HR al-Bukhari)
Mereka yang bermatlamat tinggi itu ialah Muaz bin Afra’ dan Muaz bin Amru bin al jamuh.